IPN JOURNAL






Ke Arah Pelaksanaan Perakaunan Asas Akruan Di Malaysia: Cadangan Perakaunan dan Perundangan Bagi Aset Warisan
Vol. 3, No. 1, 2013, pp. 15 – 66

AUTHORS

: Norida Basnan, Mohd Fairuz Md. Salleh, Azlina Ahmad, et al.

DOI

: https://doi.org/xxx

ABSTRAK

Peralihan daripada perakaunan asas tunai kepada perakaunan asas akruan; yang akan dilaksanakan di peringkat Kerajaan Persekutuan mulai tahun 2015, di bawah Program Transformasi Ekonomi dalam Rancangan Malaysia Ke-10 boleh dilihat sebagai usaha ke arah pelaporan kewangan kerajaan yang lebih baik yang berupaya bertindak sebagai salah satu medium untuk menjelaskan ketelusan dan akauntabiliti kerajaan kepada pihak yang berkepentingan. Berdasarkan pengalaman negara-negara yang telah melaksanakan perakaunan asas akruan, peralihan kepada asas ini telah menimbulkan beberapa isu perakaunan yang antara lainnya ialah isu berkaitan pengiktirafan dan penilaian aset fizikal khususnya aset yang mempunyai ciri-ciri khusus dan unik yang hanya wujud di sektor awam seperti aset warisan. Kajian ini merupakan satu usaha untuk membantu kerajaan dalam pembangunan piawaian perakaunan kerajaan berkaitan aset warisan serta membantu dalam menentukan setakat mana akta dan pekeliling kewangan berkaitan perlu dipinda. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif yang menggabungkan kaedah temubual, analisis kandungan dan kumpulan fokus.Tigajabatan di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan iaitu Jabatan Warisan Negara, Jabatan Arkib Negara dan Jabatan Muzium Malaysia terlibat dalam kajian ini. Kajian melihat amalan semasa perakaunan dan pengurusan aset, perbandingan amalan perakaunan dan pelaporan di empat negara yang telah melaksana perakaunan asas akruan iaitu Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan United Kingdom. Selain dari itu kajian turut dilakukan ke atas perundangan dan peraturan serta polisi perakaunan dan pelaporan sedia ada serta di empat negara berkenaan yang telah melaksanakan perakaunan asas akruan. Cadangan yang dikemukakan hasil dari kajian ini dijangka dapat membantu dalam membangunkan garis panduan untuk mengakaun dan melaporkan aset warisan khususnya di peringkat Kerajaan Persekutuan Malaysia.