Pengukuran Susulan bagi Aset Hartanah, Loji dan Peralatan (HLP) Sektor Awam di Malaysia: Isu, Cabaran dan Hala Tuju Masa Depan

By : Ainol Basirah Abd Wahab, Azlina Ahmad, Norida Basnan
Abstract :

Tujuan: Kajian ini bertujuan untuk meneliti isu dan cabaran dari aspek pengukuran susulan aset hartanah, loji dan peralatan (HLP) sektor awam di Malaysia serta mencadangkan asas pengukuran susulan yang sesuai.

Reka bentuk/ Metodologi/ Pendekatan: Kajian ini mengguna pakai pendekatan kajian kualitatif melalui kaedah analisis dokumen dan temu bual tidak berstruktur bersama lapan (8) orang responden daripada Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Responden dipilih menggunakan teknik persampelan bertujuan dan persampelan bola salji (snowball sampling).

Hasil: Kajian mendapati ada kelemahan dalam penggunaan asas kos sejarah, terutamanya bagi aset jenis tanah dan bangunan, manakala pengukuran asas nilai saksama agak sukar dilaksanakan dalam konteks aset sektor awam yang kebanyakannya dipegang bagi tujuan penyampaian perkhidmatan. Suatu asas pengukuran baharu yang dicadangkan oleh Lembaga Piawaian Perakaunan Sektor Awam Antarabangsa (IPSASB) di bawah model nilai semasa ialah asas nilai pengoperasian semasa atau dikenali sebagai Current Operational Value (COV). Ia berpotensi untuk diguna pakai sebagai asas pengukuran aset HLP sektor awam di Malaysia. Namun, terdapat pelbagai cabaran yang perlu ditangani sekiranya asas nilai semasa ingin dipraktikkan sebagai asas pengukuran susulan aset HLP sektor awam.

Implikasi Praktikal: Bagi tujuan pembentukan piawaian dan polisi perakaunan, hasil kajian boleh dijadikan sebagai input berguna untuk mencadangkan kaedah terbaik bagi pengukuran susulan aset HLP yang boleh diguna pakai dalam sektor awam di Malaysia. Seterusnya hasil kajian boleh dijadikan panduan oleh pihak berkepentingan entiti sektor awam untuk memahami dan memperbaiki amalan pengurusan dan perakaunan aset HLP.

Ketulenan/ Nilai: Kajian ini menyumbang kepada pengetahuan dari aspek pengukuran aset HLP sektor awam yang masih kurang dikaji. Perkembangan pesat dalam pembangunan piawaian dan polisi perakaunan berkaitan aset tersebut memerlukan banyak penerokaan tentang isu-isu dan cabaran pemakaian asas pengukuran. Maka hasil kajian ini berjaya memperkayakan pengetahuan berkaitan aspek ini yang boleh meningkatkan kefahaman terhadap pemasalahan, cabaran dan hala tuju pelaksanaan masa depan.

Keyword :
Pengukuran aset sektor awam, pengukuran susulan, asas pengukuran aset, hartanah, loji dan peralatan, IPSAS 43.
DOI URL :