Artikel ini mengutarakan cadangan pengolahan perakaunan berasaskan syariah bagi kutipan dan agihan zakat dari perspektif institusi zakat sebagai pemegang amanah. Cadangan ini mengambil kira amalan perakaunan semasa institusi zakat di Malaysia dalam mengakaunkan kutipan dan agihan zakat dan pandangan pakar dari aspek syariah berkaitan kutipan dan agihan zakat untuk diaplikasikan dalam pengolahan perakaunan. Dengan menggunakan kaedah analisis kandungan penyata kewangan dan perbincangan dengan pihak institusi zakat, kajian mendapati amalan semasa perakaunan bagi kutipan dan agihan zakat dalam kalangan institusi zakat yang dikaji tidak menunjukkan banyak perbezaan. Kesemua institusi zakat yang dikaji mengakaunkan kutipan zakat sebagai hasil apabila diterima dan agihan zakat sebagai belanja apabila pembayaran atau agihan kepada asnaf dilakukan. Lebihan kutipan zakat iaitu amaun yang masih belum diagihkan kepada asnaf pada sesuatu tempoh perakaunan diakaunkan sebagai ekuiti. Namun, berdasarkan dapatan daripada temu bual dengan kumpulan pakar fiqh, fokus harus diberikan bagi meneliti ketepatan amalan mengiktiraf kutipan zakat sebagai hasil, agihan zakat sebagai belanja dan lebihan kutipan zakat sebagai ekuiti dan sama ada amalan tersebut selari dengan tuntutan syarak. Selari dengan peranan institusi zakat sebagai pemegang amanah, adalah dicadangkan kutipan dan agihan zakat diiktiraf sebagai terimaan dan agihan dalam Penyata Penerimaan dan Agihan mengikut asas tunai. Manakala, lebihan kutipan zakat pada tahun semasa diiktiraf sebagai liabiliti. Cadangan ini juga bertujuan memastikan pelaporan maklumat zakat dalam penyata kewangan adalah tepat serta tidak mengelirukan masyarakat Islam sebagai pemegang taruh, selain dapat menzahirkan akauntabiliti institusi zakat sebagai pemegang amanah dengan lebih baik. Cadangan pengolahan perakaunan berasaskan syariah bagi kutipan dan agihan zakat ini boleh dijadikan panduan dalam membangunkan kerangka kerja konseptual pelaporan kewangan dan piawaian perakaunan patuh syariah khusus bagi institusi zakat di Malaysia.