Artikel ini mengkaji amalan pengiktirafan hasil oleh institusi yang mentadbir Wakaf, Zakat dan Baitulmal (WZB) di Malaysia. Dengan menggunakan kaedah analisis kandungan penyata kewangan dan perbincangan kumpulan fokus, dapatan kajian ini melaporkan wujudnya perbezaan dalam amalan pengiktirafan hasil bagi lima Institusi WZB yang dijadikan sampel kajian terutamanya dalam aspek pengiktirafan wakaf khas, pengiktirafan harta faraid atau hak pesaka bahagian baitulmal, titik pengiktirafan hasil luqatah dan wujudnya perbezaan dalam asas pengukuran yang digunakan bagi Institusi WZB dalam mengiktiraf hasil-hasil tersebut. Dapatan kajian ini dapat memberikan kefahaman berhubung amalan semasa pengiktirafan hasil Institusi WZB dan seterusnya diharapkan dapat digunakan sebagai input bagi pembentukan piawaian perakaunan dan pelaporan seragam khusus bagi Institusi WZB.