Pelaksanaan Perakaunan Akruan dan Penggunaan Maklumat Akruan dalam Sektor Awam di Malaysia: Impak terhadap Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals, “SDG”) berdasarkan Maqasid Syariah

By : Rosnia Masruki, Mustafa Mohd Hanefah
Abstract :

Tujuan: Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti sejauh mana pelaksanaan perakaunan dalam sektor awam di Malaysia dan penggunaan maklumat akruan tersebut dapat memberi impak terhadap pembangunan belanjawan, pengurusan aset dan liabliti, penzahiran akauntabiliti serta pengukuran prestasi. Impak tersebut juga dikaitkan dengan Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals, “SDG”) berdasarkan Maqasid Syariah.

Metodologi: Kajian kualitatif ini menggunakan kaedah perbincangan kumpulan berfokus (Focus Group Discussion, “FGD”) bersama akauntan di kementerian dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Malaysia. Analisis tematik digunakan untuk menganalisis data temu bual tersebut.

Dapatan: Kajian mendapati kementerian dan PBT yang terlibat lazimnya melaksanakan perakaunan akruan seperti termaktub dalam Pekeliling Perbendaharaan. Penggunaan maklumat akruan tersebut telah dimanfaatkan dalam pembangunan dan pengurusan belanjawan, pengurusan aset dan liabiliti tetapi sebaliknya dalam penilaian prestasi, namun masih membawa kepada penzahiran akauntabiliti yang baik dengan pelaporan yang lebih menyeluruh dan tepat. Melihat kepada strategi yang terdapat di dalam SDG dan elemen Maqasid Syariah, signifikan penggunaan maklumat perakaunan akruan adalah diakui menerusi impak penggunaan maklumat akruan tersebut. Kepelbagaian manfaat penggunaan maklumat akruan, secara tidak langsung impaknya, dapat menyokong usaha untuk merealisasikan SDG. Seterusnya, kedua-dua pihak kementerian dan PBT terbabit turut menyokong kepada rangka kerja pelaporan berintegrasikan SDG berlandaskan Maqasid Syariah sejajar dengan agenda nasional, Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

Implikasi Praktikal: Kajian ini boleh dijadikan sebagai panduan kepada pihak berwajib untuk memastikan maklumat perakaunan akruan digunakan sebaik mungkin untuk membuat keputusan dalam pengurusan kewangan. Kajian ini mencadangkan latihan dan kursus berkaitan pelaksanaan perakaunan akruan dan penggunaan maklumat akruan secara berkala perlu terus dipertingkatkan. Seterusnya, pelaporan prestasi yang komprehensif berteraskan SDG berlandaskan Maqasid Syariah dilihat adalah relevan.

Keaslian/Nilai: Kajian ini membuktikan penggunaan maklumat akruan secara tidak langsung dapat memberi impak terhadap SDG berdasarkan Maqasid Syariah.

Keyword :
Perakaunan sektor awam, perakaunan akruan, Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals, “SDG”), Maqasid Syariah.
DOI URL :