Perakaunan Baitul Mal: Pengajaran dari Tamadun Awal Islam

By : Ahmad Zamri Osman @ Hussin, Muslim Har Sani Mohamad, Hafiz-Majdi Ab. Rashid, Maliah Sulaiman, Siti Alawiah Siraj, Marhanum Che Mohd Salleh
Abstract :

Makalah ini mengkaji amalan ‘perakaunan’ dalam sejarah Islam dan bagaimana ia boleh memberi pemahaman tentang kemungkinan membangunkan amalan perakaunan dan pelaporan berkaitan harta kekayaan Islam. Perspektif sejarah berkaitan ketelitian pemisahan dalam aktiviti pengagihan dan penggunaan pelbagai jenis harta Islam boleh memberi petunjuk tentang bagaimana isu percampuran dana yang berbeza dapat ditangani. Kemiripan amalan ini berbanding perakaunan dana ditampilkan disini. Isu bagaimana transaksi antara dana dalam pengurusan harta Islam di institusi seperti Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) di Malaysia yang mungkin dipengaruhi oleh amalan sejarah dalam menguruskan kekayaan organisasi juga disentuh. Untuk lebih memahami amalan perakaunan bersandarkan sejarah, kajian ini meneliti dan menyorot penulisan terdahulu. Penelitian ini menggunapakai lensa perakaunan dalam memahami kandungan penulisan berkenaan. Pengajaran yang diperoleh dari kajian mengenai pengurusan, perakaunan dan amalan semasa pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. dan era para sahabat bagi pelbagai sumber kekayaan boleh memandu pengurus harta Islam kontemporari di Malaysia tentang bagaimana perakaunan dan perakaunan yang patuh Syari’ah perlu dibangunkan.

Keyword :
Baitul mal, perakaunan dana, transaksi antara dana, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).
DOI URL :