Tujuan kajian ini adalah untuk mengkaji isu-isu berkaitan dengan pengurusan dan pelaporan kewangan bagi institusi wakaf, zakat dan baitulmal. Kajian ini telah dijalankan berikutan terdapat kajian yang terhad dalam mengupas isuisu tersebut di Malaysia. Dapatan kajian diperoleh melalui kaedah penyelidikan dokumentasi dengan menggunakan laporan kewangan institusi utama yang menguruskan wakaf, zakat dan baitulmal di empat buah negeri yang terpilih. Di samping itu, kaedah temubual juga telah dijalankan dengan menemubual pihak yang terlibat secara langsung dengan aktiviti pengurusan dan penyediaan laporan kewangan institusi berkenaan iaitu wakil pengurusan dan akauntan di setiap Majlis Agama Islam Negeri. Dapatan kajian menunjukkan terdapat isu-isu penting yang menghadkan penyediaan laporan kewangan yang memenuhi keperluan syariah. Ia termasuk perbezaan model tadbir urus, perbezaan amalan perakaunan dan pelaporan, isu pendedahan serta penilaian semula aset. Pengenalpastian isuisu ini boleh menjadi platform untuk mencari penyelesaian terbaik dan kajian pada masa hadapan, bagi merungkai isu- isu ini secara terperinci ia memerlukan perbincangan lanjut dengan pihak berkuasa agama Islam dan pakar dalam bidang perakaunan serta syariah Islam. Ini akan dapat membantu institusi wakaf, zakat dan baitulmal dalam mengemaskini sistem tadbir urus serta memperbaiki tatacara pelaporan kewangan dan perakaunan agar ia dapat menepati keperluan syarak bagi kesejahteraan umat di Malaysia.