Berdasarkan kerangka konseptual akauntabiliti dalam Islam dan maqasid syariah, artikel ini mencadangkan satu senarai item pendedahan bagi pelaporan institusi wakaf, zakat dan baitulmal. Proses mengenalpasti item pendedahan ini mengambilkira dapatan kajian-kajian lepas yang berkaitan, pandangan pihak institusi wakaf, zakat dan baitulmal serta pandangan dari pakarpakar perakaunan dan kewangan Islam dan pakar pengurusan wakaf. Dalam proses memuktamadkan senarai item pendedahan tersebut, setiap item pendedahan telah dipetakan dengan elemen-elemen maqasid syariah untuk memastikan setiap item yang dicadang memenuhi keperluan syariah. Selain itu, semakan perundangan khususnya enakmen kerajaan negeri
yang berkaitan dibuat untuk memastikan tiada item pendedahan yang dicadangkan menyalahi atau tidak menepati apa yang telah ditetapkan dalam perundangan negeri berkenaan. Seterusnya, pengesahan diperolehi dari pakar-pakar perakaunan dan kewangan Islam termasuk pakar dalam bidang maqasid syariah terhadap item-item pendedahan yang dicadangkan. Hasil dari proses tersebut, 156 item pendedahan dicadangkan bagi pelaporan institusi wakaf, zakat dan baitulmal.