Aset merupakan satu komponen penting di dalam setiap institusi termasuklah MAIN sebagai institusi yang bertanggungjawab ke atas aset WZB di Malaysia. Walaubagaimanapun, kajian- kajian terdahulu yang dilaksanakan berkaitan amalan perakaunan Majlis-Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) di Malaysia hanya menumpu kepada aspek pendedahan sahaja. Kajian berkaitan pengiktirafan serta pengukuran aset-aset MAIN adalah sangat terhad. Selain daripada ketelusan MAIN mendedahkan segala maklumat berkaitan aset-aset majlis atau aset-aset yang diamanahkan sama ada melalui wakaf, zakat, atau baitulmal (WZB), dari sudut pandang perakaunan Islam, adalah amat perlu juga bagi MAIN memandang serius bagaimana aset-aset tersebut diiktiraf serta diukur dalam penyata kewangan dari perspektif Islam. Oleh yang demikian, objektif utama kajian ini adalah untuk meninjau amalan semasa MAIN mengiktiraf serta mengukur aset-aset WZB dan seterusnya mengenal pasti cabaran atau isu yang timbul di kalangan MAIN berdasarkan amalan perakaunan yang telah dipraktikkan sekian lama. Lebih penting lagi adakah amalan ini selaras dengan Syariat Islam. Secara keseluruhannya, terdapat enam kategori aset yang dinilai dalam kajian ini iaitu Hartanah, Loji dan Peralatan (PPE), Hartanah Pelaburan (IP), Inventori, Aset Pajakan, Aset Tidak Ketara (IA) dan Aset Pertanian. Kajian ini telah menggunakan kaedah triangulasi di mana penyelidik menjalankan temubual dengan pegawai-pegawai MAIN dan perbincangan kumpulan fokus, serta semakan ke atas dokumen asas iaitu Penyata Kewangan (Tahun Kewangan 2016) MAIN. Dapatan kajian mendapati kepelbagaian di dalam amalan pengiktirafan dan pengukuran enam kategori aset MAIN tersebut. Pengiktirafan aset dilakukan pada titik pengiktirafan dan nilai yang berbeza bagi setiap MAIN di dalam sampel kajian. Ini bermakna pembangunan piawaian perakaunan Islam untuk aset-aset WZB adalah perlu khususnya untuk kegunaan entiti WZB di Malaysia.