Tujuan: Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti dan membuat perbandingan asas pengukuran susulan aset hartanah, loji dan peralatan (HLP) yang diguna pakai di empat (4) negara yang dipilih iaitu United Kingdom (UK), New Zealand, Australia dan Kanada.
Rekabentuk/ Metodologi/ Pendekatan: Analisis kandungan dokumen termasuk laporan kewangan kerajaan, piawaian perakaunan dan manual laporan kewangan telah dijalankan. UK, New Zealand, Australia dan Kanada dipilih kerana negara-negara ini telah lama mengguna pakai perakaunan asas akruan yang memerlukan aset bukan kewangan termasuk aset HLP dinilai dan dipermodalkan. Sebagai perintis dalam pelaksanaan perakaunan asas akruan, pengalaman mereka dalam memperakaunkan aset HLP khususnya pengukuran aset berkenaan boleh dijadikan panduan untuk diaplikasikan di negara membangun seperti Malaysia.
Dapatan: Secara keseluruhan, bagi pengukuran susulan aset HLP sektor awam, model kos sejarah dan nilai semasa kedua-duanya diguna pakai bergantung kepada jenis atau kategori aset yang dikenalpasti kecuali Kanada yang hanya mengguna pakai model kos sejarah. Terdapat persamaan antara New Zealand dan Australia yang menguna pakai asas nilai saksama di bawah model nilai semasa bagi kebanyakan aset HLP. Manakala unik bagi UK, asas nilai pengoperasian semasa (current operational value – COV) diguna pakai bagi aset HLP tertentu seperti tanah dan bangunan serta aset infrastruktur.
Limitasi/ Implikasi Kajian: Data kajian dikumpulkan daripada sumber sekunder dan bergantung sepenuhnya kepada apa yang dilaporkan dan yang terkandung dalam dokumen yang dianalisis sahaja. Selain itu, hanya amalan semasa empat (4) negara sahaja yang dikaji, justeru adalah mustahil untuk digeneralisasi kepada keseluruhan organisasi sektor awam.
Implikasi Praktikal: Hasil dapatan kajian dijangka dapat menjadi input berguna untuk mencadangkan kaedah terbaik pengukuran susulan aset HLP yang boleh dipraktik dalam sektor awam di Malaysia. Seterusnya dapatan kajian boleh dijadikan panduan oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) untuk menggubal piawaian dan polisi perakaunan bagi pengukuran susulan aset HLP sektor awam.
Ketulenan/ Nilai: Kajian yang dilaporkan dalam artikel ini merangkumi perbandingan amalan pengukuran susulan aset HLP di empat (4) negara maju terpilih yang telah lama mengamalkan perakaunan asas akruan. Hasil kajian boleh memangkin kajian tentang implikasi setiap asas pengukuran susulan terhadap prestasi dan kedudukan kewangan negara dan seterusnya mengutarakan cadangan kaedah terbaik pengukuran susulan bagi aset sektor awam di Malaysia.